Kerajaan teruskan subsidi ayam, telur

PEMBERIAN subsidi ayam dan telur yang dikatakan bakal ditamatkan pada hujung bulan ini, akan diteruskan bermula 1 Julai depan.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela.

“Ia juga demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dilapor berkata bermula 1 Julai depan, tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan.

Menurut jawapan di Dewan Rakyat, subsidi ayam dan telur akan berakhir pada 30 Jun dan pengapungan harga bermula pada 1 Julai.

Mohamad memaklumkan menerusi jawapan lisan menjawab pertanyaan kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung tempoh harga ayam dan telur akan diapung. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights