KERAJAAN Pulau Pinang tidak mempunyai masalah untuk menempatkan wakil Umno dalam pentadbiran negeri sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun Umno perlu menang kerusi yang ditandingi sebelum diberikan jawatan Exco dalam kerajaan negeri.
“Ini selari dengan pemuafakatan yang dicapai ketika menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan ia akan diteruskan menjelang PRN, namun tertakluk kepada keputusan (PRN).
“Apa yang dinyatakan oleh Presiden Umno merupakan satu kenyataan yang menggambarkan senario politik terkini yang membawa parti-parti dalam satu gabungan baharu.
“Tertakluk kepada keputusan, maka apa yang berlaku adalah pembentukan kerajaan negeri yang baharu selepas PRN,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Kon Yeow mengulas permintaan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya melibatkan wakil Umno dalam kepimpinan tiga negeri yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, sekiranya tiada wakil Umno yang menang (PRN), mereka tidak boleh dilantik sebagai Exco kerana tiada undang-undang untuk melantik ahli baharu tanpa menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini hakikat politik, jadi, Umno perlu menang,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, tiada lagi rundingan dalam pengagihan kerusi di peringkat negeri yang mana, keputusan akan dibuat oleh Majlis Presiden.
“Di peringkat negeri, saya rasa tiada keperluan lagi untuk rundingan. Ia akan diputuskan Majlis Presiden.
“Kerusi-kerusi yang dapat ditawarkan pastinya ada yang tidak memuaskan setiap parti tetapi pada keseluruhannya, adalah satu gandingan yang boleh ditampilkan bagi membolehkan rakyat buat keputusan.
“Kerusi parti komponen Barisan Nasional (BN) akan diumumkan apabila rundingan di peringkat Pusat telah dinoktahkan,” katanya. – Malaysiapost