SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang giat memperoleh maklumat dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana negara berjumlah anggaran RM2.3 bilion.
Dalam perkembangan terkini, SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan telah membekukan akaun bank berjumlah melebihi RM39 juta.
Menurut SPRM tindakan itu membabitkan 192 akaun terdiri daripada 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu termasuk milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri serta ahli keluarga mereka.
“Selain itu, SPRM turut merakam pernyataan dua individu bergelar Tan Sri tersebut selain membuat penggeledahan di kediaman serta premis-premis berkaitan melibatkan bekas menteri kanan dan ahli perniagaan berkenaan, kelmarin,” menurut kenyataan itu.
Menurut SPRM, kesemua mereka telah diserahkan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bagi tindakan-tindakan tersebut.
“Susulan itu beberapa dokumen berkaitan kes telah diperolehi,” katanya. – Malaysiapost