Tajuddin hadir PAU 2023 sebab masih setia kepada Umno

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjelaskan kehadirannya ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, hari ini walaupun telah digantung keahlian adalah kerana beliau masih setia kepada Umno.

Beliau yang hadir memakai baju korporat Umno turut berharap supaya rayuan untuk menarik semula penggantungan keahliannya dapat diluluskan.

Menurutnya, walaupun rayuan itu telah ditolak dua kali sebelum ini, beliau masih berharap supaya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat mempertimbangkan perkara tersebut untuk kali ketiga.

“Status permohonan saya (ketika ini) tiada berita. Saya sudah buat rayuan tiga kali sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

“Saya setia kepada Umno. Umno banyak berjasa dengan saya. Walaupun saya seorang dalam Umno ini, saya tidak akan tinggalkan Umno,” katanya ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Selain itu, Tajuddin yang juga bekas Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Pasir Salak berkata, beliau juga hadir ke PAU 2023 kerana ingin ucap tahniah kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau menyifatkan Muhamad Akmal sebagai seorang yang berani dan yang mempunyai ciri-ciri seorang Pemuda Umno, berbanding dengan bekas penyandangnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Salah satu sebab saya datang hari ini saya nak ucapkan tahniah pada Muhamad Akmal. Inilah Pemuda, bukan macam Pemuda Asyraf. Itu sebab dia bertanding (pilihan raya) tiga kali kalah,” sindirnya.

Beliau berkata, sekiranya Muhamad berada di landasan yang betul dan konsisten, parti itu mempunyai harapan, selain ia bakal diwarisi pewaris yang boleh membangkitkan Umno.

“Kalau macam ini betul dan konsisten, ada harapan parti ini diwarisi oleh pewaris yang boleh membangkitkan semula Umno,” katanya.

Tajuddin dalam masa sama turut mendakwa bekas Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad adalah punca kepada masalah yang dihadapi Umno sekarang ini.

“Dia jadi Setiausaha Agung…punah Umno, masalah macam-macam..betul tak?

“Ahmad Maslan gagal sebagai Setiausaha Agung …dia tidak jadi penasihat yang betul kepada Presiden,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights