Zahid ingatkan rakan politik, jangan sentuh isu libat Islam, Melayu dan Bumiputera

UMNO mengingatkan rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak sesekali mencabar atau cuba merobek hubungan yang terjalin selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, dengan menyentuh perkara pokok atau asas melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata menjadi harapan beliau agar kesalingan yang telah terbentuk itu akan memadamkan kecurigaan sesama parti-parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan yang boleh menguris hati antara kita. Kepada sahabat-sahabat kita, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu.

“Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan,” katanya dalam ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan parti lawan jangan cuba memainkan sentimen kononnya kerjasama politik oleh Umno bersama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Suka saya tegaskan, Umno bukan political chameleons atau mengkarung politik. Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut membidas parti lawan yang didakwanya menggunakan ayat-ayat Allah sebagai sandaran untuk mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan.

“Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa politik tentang assabiyah. Kini merekalah kononnya penyelamat Melayu.

“Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada di dalam kerajaan, mana perginya agenda RUU 355?

“Kita juga biasa mendengar, tuduhan kepada Umno yang berselindung di sebalik nama Bumiputera. Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah di JANA WIBAWA kan.

“Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya,” katanya.

Dalam isu kalimah Allah pula, Ahmad Zahid berkata, kini ‘mereka’ gegak gempita cuba menjadi juara, dengan menyeleweng fakta kononnya kerajaan hari ini telah menggadai kalimah suci umat Islam itu.

Hakikatnya, tegas beliau, pendirian Umno tidak berubah walau seinci pun, malah wakil Umno dalam Kabinet walaupun tanpa perlu ‘berkokok seperti ayam jantan’, dengan tegas menyatakan kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama lain.

“Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan. Berbanding dengan mengkarung politik yang menunggang agama suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan
kalimah Allah.

“Apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka, hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik.

“Sedarlah, Melayu dan Islam bukan topengan. Melayu dan Islam punya santun dalam tindakan, hemah dan sopan dalam pertuturan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights