18 Jun tarikh lihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan Hari Raya Aidiladha

TARIKH melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan Hari Raya Aidiladha adalah pada petang Ahad, 18 Jun 2023 bersamaan 29 Zulkaedah 1444 Hijriah.

Pada malam itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu Hari Raya Aidiladha yang ditetapkan melalui pengumuman rasmi di radio dan televisyen.

“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Korban adalah berdasarkan rukyah dan hisab,” menurut satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu lagi, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara.

Lokasi tersebut ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Antara lokasi lain adalah Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

Pusat Falak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights