Isu kalimah Allah: KDN mula adakan sesi libat urus

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengadakan Majlis Libat Urus Bersama Cendekiawan Islam dan Asatizah bagi mendapatkan cadangan dan pandangan secara kolektif penambahbaikan Arahan Pentadbiran berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Dalam dalam satu kenyataan, KDN memaklumkan majlis tersebut telah diadakan di Parlimen pada 8 Jun lalu membabitkan 25 cendekiawan dan asatizah.

Menurutnya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun lalu, supaya kerajaan mengharmonikan situasi semasa dan meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul.

Katanya, Baginda bertitah supaya ia dilaksanakan dengan mengambil kira keselamatan negara, kemaslahatan ummah dan kedudukan Baginda serta Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

“Dalam melaksanakan majlis itu, para jemputan telah diberikan ruang untuk mengutarakan cadangan bagi menoktahkan isu berbangkit mengenai kawalan dan penguatkuasaan penerbitan yang berkenaan di Malaysia, dalam lingkungan skop mengekalkan dasar sedia ada berhubung penggunaan kalimah Allah.

“KDN turut sekali lagi memberi penerangan terperinci mengenai pendirian dan komitmen kerajaan dalam menyelaraskan peruntukan undang-undang Islam demi keselamatan negara dan kemaslahatan ummah serta kedudukan Institusi Beraja,” menurut kenyataan itu.

Menurut KDN, bagi memastikan pihak kementerian memperoleh cadangan dan penyelarasan yang holistik dalam urusan penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN 1986, siri libat urus akan diteruskan dengan segmen pemegang taruh yang lain.

“Ini khususnya bersama ‘Key Opinion Leader’, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Dapatan kelak akan diteliti dan dirumuskan diperingkat KDN dalam bentuk cadangan penambahbaikan Arahan Pentadbiran yang baharu, sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri, setelah mengambil kira keputusan dasar daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Majlis Raja-Raja, yang kesemuanya dijadualkan pada 2023,” katanya.

Kenyataan itu juga menyatakan komitmen KDN dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa.

Menurutnya, ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights