JAWATANKUASA Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang bersidang semalam mengetengahkan hasrat kerajaan untuk mengambil pendekatan berpaksikan kesinambungan bekalan makanan negara agar kekal terjamin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jawatankuasa itu berperanan dalam merangka dasar dan strategi sekuriti makanan yang lebih holistik dan mampan.

“JKSMN kali ini turut memberi tumpuan memperkukuhkan sekuriti makanan negara mengambil kira faktor-faktor yang memberi kesan kepada pertanian negara seperti perubahan iklim, kekangan sumber, konflik geopolitik, kemudahsampaian makanan, jurang pendapatan dan amalan pemakanan.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan cadangan untuk meningkatkan produktiviti penanaman padi melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun,” katanya di laman Facebook rasminya, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan menilai kaedah pelaksanaan lima musim itu bagi memastikan cadangan dapat direalisasikan dengan segera.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat semalam turut membincangkan usaha mempertingkatkan peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menjadi agensi utama menjamin ketersediaan bekalan makanan.
“Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan untuk memodenkan aktiviti penternakan melalui kaedah sistem penternakan secara tertutup bagi menggalakkan pengurusan ladang yang produktif dan selamat,” katanya. – Malaysiapost