MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) bersedia membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Nur Alia Maisarah Abdullah yang mendapat keputusan 9A di dalam peperiksaan itu baru-baru ini.
Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau dimaklumkan mengenai berita kejayaan pelajar itu yang mengambil keputusan SPM di sekolah dan terus ke ladang getah untuk memaklumkan kepada bapanya yang sedang menoreh.
Menurutnya, keadaan itu menggambarkan betapa tingginya akal budi pekerti dan nilai akhlak terhadap ibu bapa yang ditunjukkan adik Nur Alia Maisarah.
“Tekad dan kesungguhan adik Alia untuk berjaya di dalam pelajaran walaupun berhadapan dengan cabaran hidup wajar menjadi ikutan ramai anak-anak muda di luar sana.
“Insya-Allah, saya sudah minta pihak Penganjuran Pendidikan MARA dan MARA Perlis untuk bertemu dan membantu melalui skim penganjuran pelajaran sedia ada bagi meringankan beban keluarganya sekaligus membantu merealisasikan impian beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kemiskinan dan kekangan hidup yang pelbagai tidak harus menjadi penghalang untuk menuntut ilmu dan percaya ilmu sahaja yang dapat merubah kehidupan seseorang.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan MARA juga akan membantu Muhammad Syahril Saidi, seorang lagi pelajar cemerlang SPM 2022 yang mendapat keputusan 11A.
“Saya juga telah mengarahkan Pengarah MARA Kelantan untuk segera menziarahi pelajar yang memperolehi keputusan SPM 11A yang mana ibunya terlantar sakit di Bachok.
“MARA akan beri khidmat nasihat bagi melanjutkan pelajaran melalui bantuan MARA,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Muhammad Syahril berjaya memperoleh keputusan cemerlang meskipun perlu menjaga ibu yang terlantar sakit.
Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman itu menerima keputusan SPM daripada guru sekolah yang menghantar ke rumahnya selepas dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53. – Malaysiapost