BANTUAN anggota bomba terpaksa digunakan bagi mengeluarkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tersangkut di buaian kanak-kanak di taman permainan, di Taman Sungkai Perdana, Bidor, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.55 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa berkenaan.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi memotong buaian tersebut untuk mengeluarkan mangsa.
“Tiada kecederaan yang dialami mangsa dan dikeluarkan dengan selamat,” katanya.
Menurutnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Tarmizi Rasid itu tamat pada jam 9.30 pagi.
Sementara itu, kejadian membabitkan remaja terbabit turut tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen yang rata-rata menganggap perbuatan remaja berkenaan salah kerana merosakkan harta awam.
“Memalukan. Ini antara salah satu contoh vandalism terang terangan bukan satu jenaka kawan-kawan,” kata Rozailan Rosli.
Seorang lagi pengguna Facebook, Wan Mohd Allif berpendapat pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu ambil tindakan terhadap remaja berkenaan susulan kerosakan yang berlaku.
“PBT boleh saman dah budak tu. Rosakkan harta awam. ‘Seat baby’ pergi duduh kenapa.. nasib baik abam bomba ada,” katanya.