SEORANG pesara swasta kerugian RM1.2 juta akibat terpedaya dengan penipuan melalui panggilan telefon yang mendakwanya terbabit dengan kes pengubahan wang haram.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata pesara sebuah syarikat swasta di daerah Miri yang berusia 66 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon dari suspek yang mengaku kononnya dari Kementerian Kesihatan.
Menurutnya, panggilan itu diterima pada 18 April lalu yang kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai ‘Sarjan Wong’ dan ‘Inspektor Khoo’ dari Kota Kinabalu Sabah.
“Suspek mengatakan mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan tangkapan akan dibuat terhadapnya, namun mangsa menafikan terbabit dan mohon kekal berada di Miri kerana menghidap kanser usus.
“Suspek kemudian meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan miliknya sebelum diarah membuka dua akaun bank baharu kononnya bagi memudahkan siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah membuka akaun bank baharu di dua institusi kewangan tempatan pada 19 dan 20 April sebelum memberi maklumat ID (peribadi) dan kata laluan perbankan atas talian kepada suspek.
“Selepas itu, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun AmBank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya ke dua akaun bank yang baharu dibuka itu.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah memeriksa baki wang di kedua-dua akaun bank baharu miliknya pada 8 Jun lalu dan mendapati keseluruhan wangnya telah dipindahkan ke akaun tidak dikenali secara berperingkat dari 19 April hingga 3 Mei lalu,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto : Malay Mail