SEORANG maut manakala sembilan lagi lain cedera dalam kejadian pokok tumbang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah seorang penunggang motosikal dan dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu pokok yang tumbang menghempap dua kereta dan tiga motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’azelan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.26 pagi.
Beliau berkata, seramai 18 anggota ke lokasi dan sebaik tiba didapati sebatang pokok menghempap beberapa kenderaan dan membabitkan 10 mangsa.

“Anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, ” katanya.
A’azelan berkata, seorang penunggang motosikal didapati meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi lelaki masing-masing mengalami patah kaki dan beberapa mangsa yang lain turut cedera.
“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut dan kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

Katanya, pasukan penyelamat bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut melakukan kerja pembersihan di lokasi selepas kejadian dan operasi tamat pada 5.58 pagi.
Kejadian pokok tumbang itu dipercayai berlaku susulan fenomena puting beliung yang turut dirakam penduduk serta tular di media sosial. – Malaysiapost