SIASATAN dijalankan pihak berkuasa ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bukan bersifat dendam politik, sebaliknya mengikut lunas undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, siasatan itu dilakukan kerana ucapan pemimpin berkenaan yang menimbulkan keresahan awam kepada banyak pihak.
Menurutnya, jika tindakan tidak diambil maka kerajaan akan dilihat sebagai tidak berani bertindak tegas dalam menegakkan undang-undang di negara ini.

“Suatu kenyataan yang dianggap boleh menimbulkan keresahan, tetapi dibiarkan tanpa tindakan akan menyebabkan kerajaan dilihat tiada gigi, tak berani ambil tindakan sedangkan rakyat resah, benda sudah selesai tetapi dikorek balik.
“Apabila polis bertindak kata tindakan politik, bila ke mahkamah kata pertuduhan terpilih sedangkan proses siasatan sedang berjalan,” katanya dalam sidang media selepas melawat tapak Projek Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Kedah bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hari ini
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kedah berkata, proses siasatan ke atas Muhammad Sanusi dilakukan secara profesional ketika pihak polis merakam kenyataannya.
Menurutnya, sebaik proses siasatan selesai, laporan berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara yang bakal menentukan sama ada pendakwaan di mahkamah akan dibuat atau tidak.
“Kita tak perlu kata dendam politik kerana tak tak timbul perkara itu, yang jelas sebelum siasatan beliau kata pinda perlembagaan, bila disiasat kata tak sebut gesa pinda perlembagaan.
“Sepatutnya tetap pada satu kenyataan sahaja, kata atau tidak, gesa atau tidak.
“Setiap kenyataan akan mengundang kesan, apa berlaku kepada Menteri Besar adalah satu kertas siasatan dibuka polis yang bertindak secara profesional, biar mereka buat kerja siasat dahulu,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai gesaan agar kerajaan mendedahkan Laporan Pasukan Petugas Khas berhubung kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat, beliau menjelaskan perkara berkenaan dalam perhatiannya.
“Pertama keputusan mahkamah sudah dibuat kerajaan kena menyerahkan laporan siasatan, jadi Peguam Negara ambil langkah mengemukakan rayuan penangguhan terdahulu, saya akan bawa perkara ini ke peringkat atas.
“Kejadian Amri hilang bukan baharu, cuma keputusan mahkamah agar laporan siasatan didedah baharu dibuat. Jawatankuasa siasatan ditubuhkan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri, kita selesai satu per satu dahulu,” katanya. – Malaysiapost