POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes pemilikan tanah rizab agensi berkenaan di Kamunting, Perak yang dimiliki oleh sebuah organisasi gereja.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tanah rizab itu menempatkan rumah ketua balai dan berek kelamin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
“Hasil siasatan mendapati tiada unsur penipuan terhadap status tanah rizab berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Siasatan mengenai status tanah menunjukkan lot 784 terbabit milik Titular Roman Catholic Bishop of Malacca (TTRCBM) sejak 1883,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, laporan polis yang dibuat oleh IPD Taiping sebelum ini berhubung isu berkenaan bertujuan untuk mengenal pasti status sebenar pemilikan tanah terbabit.
Beliau berharap semua pihak tidak memanipulasikan isu berkenaan sehingga boleh mengelirukan persepsi masyarakat.
Terdahulu media melaporkan, kuarters dan rumah Ketua Balai Polis Kamunting di atas tanah seluas 0.55 hektar di Lot 784 di Kamunting, Taiping, dikosongkan untuk tindakan perobohan susulan isu tuntutan pemilikan tanah berkenaan.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata ia berdasarkan laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan tuntutan hak milik tanah itu oleh sebuah organisasi gereja. – Malaysiapost