Umno tak seteruk ini kalau ‘Putrajaya’ adakan PRU-15 lebih awal – Ahmad Maslan

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, menegaskan nasib Umno tidak akan seteruk sekarang ini jika ‘Putrajaya’ mengikuti keputusan dicapai bersama dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal.

Bekas Setiausaha Agung Umno itu berkata, jika PRU-15 diadakan ketika gelombang kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor masih tinggi serta Datuk Seri Najib Razak masih ‘diluar’, nasib Umno pasti berbeza.

Menurutnya, pemilihan waktu berkenaan adalah sangat penting dalam politik, namun ia sudah berlalu dan perlu dijadikan ingatan.

“Jika pihak ‘Putrajaya’ (kerajaan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri) ikut keputusan bersama – ketika gelombang kemenangan Melaka (menang 21 daripada 28 kerusi) serta Johor (40 daripada 56 kerusi), semangat masih tinggi dan ketika #BossKu (Najib) masih di luar, adakan PRU15, maka nasib UMNO dan BN tidak seteruk ini.

“Timing (pemilihan waktu) sangat penting dalam politik. Yang lepas dijadikan ingatan,” katanya di Twitter hari ini.

Ahmad berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas MKT Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa beliau punca Umno punah kerana gagal memberi nasihat kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata penasihat-penasihat Presiden Umno adalah lima pimpinan tertinggi parti atau ‘Top Five’ Umno, 21 Ahli Biro Politik dan 56 Ahli MKT.

Beliau berkata, sebagai Setiausaha Agung Umno ketika itu beliau bertindak sebagai pelaksana keputusan yang dicapai dalam mesyuarat membabitkan penasihat-penasihat berkenaan.

“Saya pelaksana keputusan Mesyuarat A (Top Five), B (Biro Politik) dan C (MKT). Ada keputusan penting tapi tak dapat dilaksana.

“Contoh PRU-15 patut perlu seawal mungkin, sebaiknya selepas PRN Melaka dan PRN Johor,” katanya.

Terdahulu, Tajuddin yang hadir mengejut Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam mendakwa Ahmad sebagai punca kepada masalah yang dihadapi Umno sekarang ini.

Dalam sidang medianya, beliau yang kini digantung keahlian Umno selama enam tahun mendakwa Ahli Parlimen Pontian itu tidak memberikan nasihat sewajarnya kepada Presiden Umno.

“Dia jadi Setiausaha Agung…punah Umno, masalah macam-macam..betul tak?

“Ahmad Maslan gagal sebagai Setiausaha Agung …dia tidak jadi penasihat yang betul kepada Presiden,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights