TERDAPAT orang ‘dalam’ Umno termasuk pemimpin yang digantung dan dipecat cuba memecah belahkan parti itu dengan memfitnah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak berusaha untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, mendakwa perkara itu dapat dilihat berdasarkan risalah mengecam presiden parti yang diedarkan kepada perwakilan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, semalam.

Menurutnya, risalah itu diselitkan di semua kereta yang diletakkan di parkir Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Semalam terdapat ‘flyers’ yang mengecam Zahid. Dia dituduh tidak membela Najib. Semua kereta yang parking di WTC diselit dengan flyers fitnah itu
“Ini percubaan untuk pecah belahkan Umno. Ini kerja orang dalam yang bergabung dengan orang luar. Tidak hairan segelintir kluster gantung dan pecat Umno terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, kumpulan berkenaan bagaimanapun ‘terkedu’ apabila Ahmad Zahid membangkitkan isu pembelaan Najib dalam ucapan dasarnya semalam di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tetapi mereka terkedu bila Zahid bangkitkan isu pembelaan Najib dalam ucapan dasarnya. Bahkan video ucapan Datuk Mohd Nizar Najib (anak Najib) ditayangkan.
“Dia menyampaikan pesanan ayahnya supaya pertahankan Kerajaan Perpaduan. PM (Anwar) hadir dan mendengarnya. Puak ini mahu Zahid lemah. Maka lemahlah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Semalam Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya, menyatakan parti itu akan tetap memperjuangkan nasib dan memberikan keadilan kepada Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Kita mahukan keadilan untuk Najib. Kita mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia.
“Walaupun beliau tidak bersama kita secara fizikal, jiwa beliau tetap bersama kita. Semangat beliau tetap bersama kita. Kita berikan laungan bersemangat untuk beliau.
“Perdana Menteri lihat sendiri apa yang dinyatakan,” katanya merujuk kepada perwakilan yang berdiri melaungkan ‘Bebas Bossku’. – Malaysiapost