PAS mengutuk keras perbuatan provokatif dan melampau seorang warga Iraq di Sweden membakar naskhah Al-Quran di luar sebuah masjid utama di Stockholm Rabu lalu, semasa umat Islam menyambut Aidiladha.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS juga merakamkan rasa amat terkilan terhadap keputusan pihak berkuasa negara tersebut yang sebelum itu memberi kebenaran kepada individu terbabit untuk berbuat demikian atas nama kebebasan bersuara.
“Ini bukan kali pertama insiden sedemikian berlaku di negara berkenaan susulan pendirian pihak berkuasanya.
“Sementara semua bentuk bantahan daripada banyak negara dan pihak sebelum ini juga gagal menghalang perkara sama daripada terus berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, Takiyuddin berkata, PAS percaya kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah lebih tegas dan aktif bagi menunjukkan keseriusan negara dalam isu tersebut.
Pada masa sama katanya, kerajaan Malaysia perlu mengetengahkan mesej keamanan dan persaudaraan dibawa oleh Islam dan turut menjadi dasar dan pegangan negara ini.
“Selain mengeluarkan kenyataan rasmi atau memanggil wakil Sweden ke negara ini bagi menyampaikan protes kita, PAS menggesa kerajaan, khasnya Kementerian Luar memanggil pulang duta kita ke negara itu sebagai langkah bantahan lebih tegas.
“Selain itu, kerajaan boleh berperanan secara lebih aktif di pentas dan forum antarabangsa bagi menggembleng suara dan tindakan dunia.
“Ia dalam menghalang dan memberi tekanan kepada kerajaan serta pihak berkuasa Sweden daripada terus sambil lewa terhadap perbuatan yang jelas tidak menyumbang kepada muafakat serta keamanan dunia, selain merupakan jenayah kebencian dituju khusus kepada Islam dan umat Islam,” katanya. – Malaysiapost