KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta agar tidak ‘berdendam’ terhadap kumpulan T20 dengan tidak lagi memberikan subsidi kepada golongan berkenaan termasuk tarif elektrik.Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tindakan itu akan hanya mendatangkan masalah kepada rakyat seperti kenaikan harga barang dan pembuangan pekerja.“Tanpa majikan, mana ada pekerja. Kebanyakan majikan adalah dalam golongan M40 dan T20. Kita jangan berdendam dengan kumpulan ini, mereka juga penyumbang kepada ekonomi. Merekalah yang akan mencipta peluang pekerjaan kepada pekerja.“Kita kena faham, ini teori asas ekonomi. Jangan kita berdendam, anggap kumpulan ini (T20) penting. Jangan kita mengenakan kenaikan (tarif subsidi elektrik) secara mendadak.“Apabila mereka sesak nafas orang lain akan terkesan termasuk pekerja,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya.Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, memberi contoh jika kos pengoperasian sebuah kilang adalah RM100,000 sebulan dan tiba-tiba bil elektrik naik sehingga 40 peratus, maka ia akan menyebabkan meningkat sehingga RM140,000.“Apa yang kamu akan lakukan jika kamu ada 40 pekerja? Sudah tentu kamu akan pecat 10 orang pekerja untuk kurangkan kos, ataupun kamu akan jual produk dengan harga yang lebih tinggi.“Kalau jual dengan harga lebih tinggi..siapa menanggung kos ini..rakyat jelata. Kadar inflasi akan naik. Kalau pekerja dipecat siapa yang menanggung kesengsaraan..keluarga mereka siapa nak jaga..ini yang menyebabkan masalah berlarutan,” katanya. Menurutnya, dalam isu ini kerajaan perlu berbincang dengan pihak industri dan mendapatkan pandangan daripada peniaga-peniaga kecil mengenai kesan kenaikan tarif elektrik.“Bil elektrik ini bila naik…mereka akan sengsara, ini adalah perkara yang pasti berlaku. Kalau tak percaya tanya mereka, adakah mereka sengsara.“Bila tiada kerja…kila berhentikan pekerja, ini akan mendatangkan kesan yang lebih dahsyat lagi,” katanya.Pada Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan golongan T20 tidak akan lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik mahupun untuk menunaikan haji di Makkah.
Jelasnya, sistem penyelarasan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang sepatutnya layak. – Malaysiapost