JANGAN mendoakan keburukan dan kematian seseorang walaupun berbeza pendirian politik kepartian sekalipun, sebaliknya doakan hidayah dan kebaikan untuk dirinya dunia dan akhirat, kata Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno itu berkata, Islam hanya membenarkan dalam satu keadaan sahaja seseorang itu boleh mendoakan keburukan atas seseorang.
Menurutnya, ia sekiranya individu berkenaan dizalimi lalu dia mendoakan keburukan terhadap orang yang melakukan kezaliman terhadap dirinya.
“Ia pernah berlaku kepada dua sahabat Nabi (SAW) iaitu Sa’ad bin Abi Waqqas dan Sa’id bin Zayd yang difitnah. Kedua-dua mereka adalah daripada kalangan 10 Sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah.
“Sa’ad bin Abi Waqqas difitnah tidak berlaku adil sebagai gabenor Kufah. Sa’id bin Zayd pula dituduh dan difitnah oleh seorang perempuan kononnya Sa’d mengambil dan merampas tanahnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, itupun Sa’ad berdoa secara berlapik dengan perkataan “sekiranya” dan beliau berdoa terhadap lelaki tua yang memfitnah dirinya.
“Sekiranya hamba Mu itu berbohong tentang diriku, mereka-reka kepalsuan dan kerana riya menunjuk-nunjuk dan sum’ah mencari kemasyhuran, maka butakanlah matanya, panjangkanlah umurnya (ke tahap nyanyuk), panjangkanlah kefakirannya dan ujilah dia dengan fitnah”
“Sa’id bin Zayd (r.a) juga berlapik dengan perkataan “sekiranya”. Beliau berdoa “ya Allah sekiranya perempuan itu berbohong dan menzalimi diriku maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia di tanahnya sendiri”,” katanya.
Mohd Khairuddin berkata, kesimpulannya ialah janganlah mendoakan keburukan ke atas seseorang yang berbeza pendirian dalam persaingan politik kepartian. Apatah lagi mendoakan kematian seseorang yang sedang sakit.
Katanya, umat Islam perlu mencontohi akhlak Nabi (SAW) apabila bermusuh yang melambangkan Islam agama yang indah dan rendang dengan akhlak.
“Doakan kebaikan diri dan hidayah untuk rakan hatta musuh sekalipun.
“Apabila Nabi dan para Sahabat berhadapan dengan kegetiran kekalahan perang Uhud hatta Nabi (SAW) sendiri cedera dan luka, para Sahabat lalu meminta Nabi (SAW) mendoakan kehancuran musuh di kalangan kafir musyrik.
“Tapi sebaliknya Baginda berdoa. “Ya Allah berilah hidayah kepada kaum Daus dan kaum Thaqif…Ya Allah berilah hidayah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui” (Hadis riwayat Bukhari, Muskim dan Tirmizi),” katanya.
Menurutnya, Nabi SAW turut menegaskan “sesungguhnya Allah tidak mengutuskan saya sebagai pencela dan tidak juga sebagai pelaknat mengutuk tetapi Dia mengutuskan saya sebagai pendakwah yang menyeru dan sebagai rahmat. Ya Allah berilah hidayah kepada kaum saya kerana mereka tidak mengetahui” (Hadis riwayat Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).
Justeru, sesiapa yang mendoakan kematian seseorang yang sedang sakit kerana berbeza parti politik perlu bertaubat mohon ampun kepada Allah dan juga perlu meminta maaf kepada empunya diri dan ahli keluarganya.
“Politik kepartian tidak mewajarkan terputusnya persaudaraan Islam yang diwajibkan oleh Allah untuk dipelihara,” katanya. – Malaysiapost