MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi lawatan kerja ke Rom, Itali dan Budapest, Hungary bermula hari ini sehingga 8 Julai.
Semasa di Rom, Mohamad akan menghadiri Sidang Pleno Persidangan Food and Agriculture Organization (FAO) Ke-43 yang merupakan platform bagi setiap ketua delegasi menyampaikan kenyataan negara di bawah agenda Review of the State of Food and Agriculture.
Tema bagi agenda pada tahun ini ialah “Water resources management for the four betters: better production, better nutrition, better environment and better life, to achieve Agenda 2030 and the Sustainable Development Goals”.
KPKM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, dalam tempoh Persidangan FAO itu Mohamad akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala ke atas Menteri Pertanian, Kedaulatan Makanan dan Perhutanan Itali, Francesco Lollobrigida.
“Mesyuarat ini bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian termasuk ekonomi, pelaburan dan teknikal.
“Pertemuan ini juga akan digunakan sebagai peluang untuk meneroka akses pasaran baharu bagi produk pertanian negara dalam usaha meningkatkan keseimbangan perdagangan hasil pertanian antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pertemuan bersama Ketua Pengarah FAO, Dr. Qu Dongyu juga akan diadakan bagi perbincangan mengenai isu berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan serta nutrisi global.
Lawatan kerja ini diteruskan ke Budapest, Hungary pada 6 Julai bagi mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertanian Hungary, István Nagy dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian kedua-dua negara.
Pemeteraian MoU itu katanya, akan mengukuh hubungan dan kerjasama dalam bidang pertanian, meningkatkan kemahiran teknikal dan kepakaran pegawai, memudah cara akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Hungary serta membolehkan kedua-dua negara merangka program kerjasama baharu yang bersesuaian.
“Mohamad turut dijemput menyampaikan ucaptama di Majlis Penganugerahan Program Doktor Falsafah di Hungarian University of Agriculture and Life Sciences (MATE),” katanya. – Malaysiapost