MUDA akui hadapi masalah pengundi umur 40-55 tahun

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa partinya mendapat sokongan kuat daripada golongan muda berdasarkan undi yang diterima pada pilihan raya ditandingi sebelum ini.

Menurutnya, apa yang lebih mengejutkan adalah parti itu turut mendapat undi daripada golongan berusia 60 tahun ke atas.

Bagaimanapun, beliau mengakui MUDA berdepan masalah untuk memenangi undi daripada rakyat berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun.

“Kalau kita lihat apa yang berlaku di Muar, Puteri Wangsa dan kerusi-kerusi lain kita bertanding, peratusan sokongan MUDA ini bukan saya datang daripada anak muda.

“Apa yang mengejutkan adalah peratusan sokongan dikalangan orang tua atas 60 tahun. Kita akui kita ada sedikit masalah dalam memenangi undi dalam lingkungan umur 40 hingga 55 tahun.

“Ini sangat unik, golongan sangat muda menyokong dan golongan sangat tua juga menyokong (MUDA),” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebooknya.

Beliau berkata, keadaan itu sekaligus membuktikan politik yang MUDA ketengahkan bukan politik berdasarkan umur semata-mata dan parti itu sendiri adalah tentang politik baharu yang segar.

“Politik berpaksikan khidmat dan dasar…dan apabila mereka lihat kita bicarakan isu-isu dasar, solusi kepada masalah rakyat, ia merentasi faktor umur, bangsa dan agama.

“MUDA nak berikan lonjakan paradigma supaya Malaysia jadi negara maju di mana semua rakyatnya tidak kira umur, bangsa dan agama melihat negara ini sebagai rumah mereka.

“Mereka ada pendapatan yang baik, pekerjaan yang baik, ada sistem pengangkutan yang baik, isu perubahan iklim dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, berkata tujuannya adalah agar orang melihat Malaysia sebagai negara majoriti Muslim yang maju dan diiktiraf dunia sebagai negara peneraju di Asia Tenggara. – Malaysiapost 

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights