POLIS Bentong menafikan pihaknya mengarahkan pegawai kanan mengutip sumbangan daripada orang awam untuk program di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar turut menegaskan tiada pegawai kanan dikenali dengan panggilan ‘Tuan Nik’ atau ‘Tuan Syukri’ berkhidmat di IPD berkenaan.
“Kami tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawai kanan mengutip sumbangan daripada orang awam.
“Jika ada orang awam atau ahli perniagaan menerima panggilan atau pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada ‘pegawai’ terbabit, sila laporkan segera kepada pihak kami untuk memudahkan tindakan diambil,” katanya hari ini.
Zaiham memaklumkan pihaknya mula menerima laporan polis berkaitan aktiviti suspek yang menyamar sebagai pegawai kanan polis hari ini.
Katanya, tindakan suspek bukan sahaja mencemarkan imej polis Bentong, bahkan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Suspek dikatakan menghubungi beberapa ahli perniagaan di sekitar daerah ini untuk meminta sumbangan kononnya untuk program anjuran IPD Bentong.
“Kami percaya suspek sudah menipu beberapa orang mangsa dan masih ada mangsa belum tampil membuat laporan polis,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, suspek menggunakan gambar profil pegawai kanan polis pada aplikasi WhatsApp yang digunakan untuk menipu mangsa.
“Suspek dikatakan menghubungi suspek menggunakan nombor 019-5673346 atau 011-72394318 sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan meminta sumbangan.
“Mangsa diminta memberi sumbangan itu melalui nombor akaun 8881045756758 (AmBank), 8605022525 (CIMB) dan 111011261247 (Maybank),” katanya lagi.
Zaiham berkata, siasatan kes itu dilakukan bahagian siasatan jenayah komersial IPD Bentong mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost