SEJAK dilanda kontroversi beberapa minggu lalu ‘Founder Misi Rakyat’ mengakui dia sudah tersilap langkah dan ingin memulakan semula cita-citanya membantu rakyat dengan cara yang betul.
Nur Ahmad Faiz yang tular selepas ideanya memperkenalkan projek ‘Misi Farm’ gagal selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran supaya rakyat berhati-hati dengan aktiviti pengumpulan dana yang meragukan.
Dia yang sebelum ini bercita-cita mewujudkan 1,000 hab pertanian dan menghapuskan orang tengah memulangkan semula lebih RM400,000 yang disumbangkan orang ramai menerusi projek berkenaan.
Menerusi hantaran terbaharunya di Facebook hari ini, dia memberitahu akan mengambil kira tiga perkara dalam memulakan semula gerakannya itu termasuklah menggunakan akaun yang betul, ‘tidak melawan arus’ serta audit.
Jelasnya lagi, penggunaan akaun Sdn Bhd bagi tujuan kutipan dana pada aplikasi Misi Farms.
“Minggu lepas memang saya sudah meeting (mesyuarat) dengan syarikat Billplz di Starbuck Puncak Alam tentang isu ini. Billplz akan bantu buatkan ‘payment gateway’ terus ke yayasan Misi Rakyat nanti,” katanya.
Dalam pada itu, dia mengakui dirinya seorang ‘over confident’ serta bertindak seolah-olah hero dengan membuat konten yang kontroversi dalam mendapat perhatian orang ramai, sekali gus membuatkan dia tidak disenangi.
“So i wanna just be me (saya hanya nak menjadi diri saya) hidup tak tenang selama ni terpaksa buat semua ini dalam keadaan mengancam nyawa dan membuka diri untuk diserang secara terbuka,” katanya.
Jelasnya lagi, dia ingin membebaskan diri daripada tuduhan mengambil wang pengurusan 30 peratus daripada dana.
“Saya wujudkan sistem transparent (telus), tak cukup.. kena ada audit baru sah. Jadi audit tahun 2022 sedang diuruskan oleh syarikat akauntan, lepas itu akan dihantar kepada auditor. Nanti InsyaAllah saya share report,” katanya.
Dalam pada itu, dia memaklumkan sedia memaafkan orang ramai yang menegur serta mengkritiknya .
“Saya tetap akan teruskan Misi Farms. Tapi saya akan buka sendiri hub guna duit sendiri satu persatu untuk bantu saudara-saudara yang selama ni catu makanan.
“Tolong orang susah sahaja.. hidup lebih tenang,” tulisnya. – Malaysiapost