PENYERANG Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani hari ini mengadakan pertemuan dengan pengurusan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Pertemuan itu dipercayai berkaitan isu melibatkan pemain berusia 28 tahun itu bersama pasukan The Red Warriors (TRW).
PFAM menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan pertemuan itu dihadiri Presidennya, Safee Sali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Izham Ismail serta Eksekutif Perundangan, Syafiq Jebat.
“PFAM bersama Nurshamil Abd Ghani,” tulis PFAM sambil memuat naik gambar pertemuan wakil mereka bersama penyerang Kelantan FC itu.
Semalam, media melaporkan Nurshamil mendakwa perlu membayar RM50,000 untuk menamatkan kontrak walaupun atas persetujuan bersama.
Kelantan FC sebelum ini didakwa berdepan masalah kewangan dan terpalit isu tunggakan gaji pemain.
Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan pemain akibat kegagalan melunaskan tunggakan gaji. – Malaysiapost