PELAWAK dan pengacara, Shuib ‘naik angin’ dengan segelintir komen biadap netizen yang melibatkan arwah isterinya, penyanyi Siti Sarah Raisuddin dengan perkahwinan baharunya.
Menerusi hantaran di Facebook, pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad, 39, mengingatkan netizan supaya tidak meninggalkan komen melampau kerana dia sentiasa membaca dan memantau akaun media sosial miliknya.
Merujuk tangkap layar komen seorang pengguna Facebook Cik Puan Sue, Shuib menyifatkan komen individu berkenaan sebagai melampau, dan meminta pemilik akaun itu segera menemui dirinya.
“Assalammualaikum, ini salah satu komen yg terlalu melampau! Ada banyak lagi saya tak sempat nak baca! Jangan ingat saya tak baca komen-komen ya.
“Boleh komen tapi, jangan sampai jatuh fitnah dan ini dah melampaui batas! Kenapa kaitkan arwah isteri saya? Dan Ini adalah fitnah semata-mata.
“Tag pemilik akaun Cik Puan Sue ,cari saya atau tindakan selanjutnya akan menyusul. Peguam saya dah sedia maklum tentang perkara Ini,” katanya.
Menerusi tangkap layar berkenaan, individu berkenaan mendakwa Shuib menjadi punca arwah Siti Sarah lambat dibawa ke hopital selepas dijangkiti Covid-19, selain menuduh kemungkinan pelawak itu ‘bersyukur’ atas pemergian arwah kerana dapat berkahwin baharu.
Dalam hantaran berasingan pula, Shuib turut membidas kenyataan seorang individu di Facebook yang menuduh dirinya sebagai seorang ahli Freemason.
“Assalamualaikum, banyak hari saya sabar, hari ini saya terpanggil untuk berkenalan dengan mamat ni yg mana tulisannya terlalulah hebat dan berani.
“Kenama kaui libatkan arwah isteri aku Siti Darah! Freemason? Apa yang kau tahu? Meh cakap depan-depan aku.
“24 jam cari aku. Lawyer tengah jalan kerja, tunggu!,” katanya.
Pada 23 Jun lalu, Shuib sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, dalam majlis yang berlangsung di Putra Glass Hall, Shah Alam.
Sebelum ini, Shuib mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, arwah Siti Sarah pada 2011.
Bagaimanapun, arwah Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2. – Malaysiapost

