Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung, kesan 8 lagi mangsa hilang

OPERASI hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Chukai, Terengganu, diteruskan pagi ini.

Tujuh daripada mangsa adalah daripada keluarga yang sama iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang turut serta dalam perkelahan keluarga kelmarin, yang berakhir dengan tragedi kepala air, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata operasi itu membabitkan seramai 163 anggota terdiri daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.

“Operasi hari ini dimulakan kira-kira jam 8.30 pagi dan pasukan pencarian akan dipecahkan kepada beberapa lokasi tumpuan kepada kawasan seluas 32 kilometer (km) persegi.

“Operasi yang dilakukan semalam, kita terpaksa tamat lebih awal kira-kira jam 6 petang berikutan faktor cuaca yang tidak mengizinkan,” katanya.

Hanyan berkata, selain itu pasukan operasi hari ini akan bertumpu di kawasan tebing kiri dan kanan jeram sejauh lapan kilometer.

“Pihak kami percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh dihanyutkan agak jauh dari titik awal kejadian berikutan dibawa arus kepala air yang deras.

“Pasukan pencarian juga akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 dari polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menambah kekuatan anggota operasi termasuk bantuan dari luar sekiranya keadaan memerlukan.

“Operasi hari ini juga akan membabitkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada.

“Kami berharap keadaan cuaca baik sepanjang hari ini bagi memudahkan pasukan operasi melakukan pencarian mangsa,” katanya.

Semalam, operasi SAR dihentikan pada 6 petang ekoran hujan lebat yang menyukarkan pencarian selain berisiko kepada pasukan pencarian yang dijalankan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu orang awam. – Malaysiapost

Kredit Foto : Bernama 

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights