Isu rasuah KLIA: SPRM ambil keterangan menteri, warga China

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan tiga saksi termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam insiden melibatkan seorang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Difahamkan, selain King Sing, dua saksi utama warga China turut diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Beberapa pegawai imigresen yang terlibat juga akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara itu, hari ini.

SPRM juga telah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan ‘menyelesaikan’ kes melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana yang ditetapkan Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut sumber, pihaknya sedang giat mengesan individu yang merupakan ejen yang dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan berkenaan.

Sebelum ini, Azam mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan King Sing dan warga China terbabit semalam, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan salah laku pegawai Imigresen.

Ia susulan dakwaan menteri itu sebelum ini bahawa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA selepas insiden kekecohan di pintu masuk utama negara itu.

Semalam media melaporkan, King Sing tidak hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan salah laku pegawai Imigresen.

Setakat lewat petang semalam, pengamal media yang berkumpul di pekarangan ibu pejabat SPRM sejak pagi tidak melihat kelibat King Sing tiba di sana. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights