Rasuah: ‘Tak wajar tuduh Imigresen, JPN tanpa bukti’ – Zahid

TIDAK adil untuk mana-mana pihak membuat tuduhan melulu terhadap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu memerlukan siasatan yang menyeluruh seperti mana yang sedang dilakukan ketika ini.

“Jika ia (tuduhan) benar ia mesti diperbaiki, jika ianya tidak benar mesti dilakukan pencerahan.

“Kita tidak wajar untuk melakukan tuduhan secara rambang dan dalam perkara ini yang penting ialah keberkesanan terhadap langkah-langkah (diambil) oleh kedua-dua agensi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan mungkin terdapat segelintir pihak di dalam agensi berkenaan yang terlibat sehingga menjejaskan nama baik jabatan.

“Mungkin ada ‘kacang-kacang hantu’ yang memang wujud dan sentiasa wujud. Jadi, ‘kacang-kacang hantu’ ini yang merosakkan susu sebelanga kerana nila setitik. Ini yang harus dibanters,” katanya.

Beliau mengulas pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang memberitahu dua jabatan tersebut kini sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar berkata, beliau menerima maklumat wujudnya unsur salah guna kuasa mengenai proses untuk mendapatkan sijil warga negara dengan bayaran tertentu di JPN. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights