Saya bukan boneka DAP – Anwar
DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan boneka kepada sesiapa termasuk DAP.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak memimpin Kerajaan Perpaduan di bawah telunjuk DAP seperti didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Dia (Mahathir) kata kita tunduk kepada DAP yang kuasai kerusi, saya ingin jelaskan, saya bukan boneka sesiapa.
“Alhamdulillah, umur akan mencecah 76, saya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, kalau boleh dibeli dah melencong lama dah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.
Semalam Dr Mahathir berkata, Anwar terpaksa menuruti manifesto DAP, khususnya menjadikan Tanah Melayu negara pelbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular.
“Ya. DAP cuma ada empat menteri. Tetapi dalam kerajaan terdapat 40 ahli DAP. Jika DAP tarik diri kerajaan Anwar akan jatuh.
“Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP, khusus menjadi Tanah Melayu negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular – negara yang tidak ada agama rasmi,” katanya.
Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau tidak bermaksud untuk mempertahan DAP sebagai rakan Kerajaan Perpaduan, tetapi sepanjang mesyuarat Kabinet, mereka tidak pernah mempertikai program untuk orang Melayu dan Islam. – Malaysiapost