Dr Mahathir telah buktikan dirinya ‘sesumpah politik’ – Kit Siang

VETERAN DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuktikan dirinya sebagai seorang ‘sesumpah politik’.

Justeru, Kit Siang mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Dr Mahathir kerana memberi gambaran besar untuk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sudah jelas iaitu sama ada usaha mempromosi Malaysia majmuk berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata pendirian Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh, sebelum ini bahawa Perlembagaan Malaysia bersifat majmuk.

Katanya, ia terlihat ketika Dr Mahathir mengumumkan rancangan 30 tahun Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya, dan juga menyokong prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Tetapi pendiriannya berubah selepas September 2021 di mana dia (Dr Mahathir) menulis buku ‘Capturing Hope-The Struggle for a New Malaysia’ selepas dijatuhkan oleh konspirasi Langkah Sheraton pada, Februari 2020.

“Dr Mahathir telah membuktikan dirinya sebagai seorang sesumpah politik. Saya masih ingat dengan pengumumannya di persidangan perwakilan Gerakan pada 29 September 2001 bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

“Ia bertentangan dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan ketiga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hanya tiga Perdana Menteri terawal Malaysia, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn berada di pihak yang percaya bahawa perlembagaan Malaysia bersifat majmuk.

Katanya, Perdana Menteri kedua (Abdul Razak) dan ketiga (Hussein Onn) juga menyokong Rukun Negara sebagai prinsip pembinaan sebuah Malaysia yang majmuk.

“Tunku Abdul Rahman, semasa majlis makan malam sempena hari jadi ke lapan puluhnya pada 8 Februari 1983 anjuran Barisan Nasional, yang telah dihadiri oleh semua pemimpin tertinggi BN termasuklah Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad

“…telah memberikan mesej yang amat penting kepada pemimpin BN untuk tidak mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam. Perkara ini menjadi tajuk utama semua akhbar pada keesokan harinya,” katanya.

Beliau berkata, Tunku Abdul Rahman menekankan yang Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi dan perkara itu termaktub dalam Perlembagaan dan perlulah dihormati dan dipegang.

“Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Hussein Onn, telah memberikan sokongan penuh secara terbuka kepada seruan Tunku yang dihalakan kepada para pemimpin BN untuk tidak mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam,” katanya.

“Hussein mengatakan ‘tidak bijak atau praktikal’ untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam memandangkan Malaysia boleh berfungsi sebagai sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasminya,” katanya.

Justeru, katanya, Dr Mahathir telah mengabaikan Suruhanjaya Perlembagaan Reid 1957 mencadangkan supaya Perlembagaan Malaya, selepas mencapai kemerdekaan, menyatakan dengan jelas bahawa Malaya adalah sebuah negara sekular.

Menurut Kit Siang, Dr Mahathir membuat perisytiharan ‘929’ yang mendapat sokongan Gerakan untuk menangkis PAS tetapi sekarang beliau dan Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang, berada dalam kumpulan yang sama. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights