Eco-Shop kekalkan harga RM2.40 hingga 5 tahun

ECO-Shop Malaysia, yang menjual barangan isi rumah harian memberi jaminan mengekalkan harga RM2.40 bagi setiap produknya selama lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasinya, Jessica Ng berkata, kenaikan harga sebelum ini tidak dapat dielakkan berikutan pihaknya perlu membuat penyelarasan selepas pandemik Covid-19.

“Kami mahu memperluaskan pemilihan produk dan meningkatkan jumlah barangan makanan dan minuman.

“Harga RM2.40 setiap barangan juga akan kekal untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang,” katanya pada majlis pelancaran kempen terbaharu sempena ulang tahun Eco-Shop Malaysia yang ke-20.

Eco-Shop ketika ini menawarkan lebih daripada 10,000 barangan produk, terdiri daripada keperluan isi rumah kepada mainan dan makanan kucing.

Syarikat itu yang memiliki lebih 240 kedai di seluruh negara, menyasar untuk menggandakan asas keahlian aplikasi mudah alih susulan pelancaran kempen terbaharu sempena ulang tahunnya yang ke-20.

Jessica berkata, Eco-App syarikat itu adalah antara 10 aplikasi membeli-belah teratas di Malaysia dan kini mempunyai 800,000 ahli.

Beliau berkata, ahli baharu Eco-App akan menikmati pelbagai faedah dan kemas kini.

Kempen ‘Syokpping Gila-Gila dengan Satu Harga’ yang dilancarkan di stesen LRT Masjid Jamek hari ini merangkumi beberapa acara dan aktiviti, termasuk reruai di stesen berkenaan.

Peraduan yang menawarkan pemenang syiling Eco bernilai sehingga RM100,000, boleh ditebus bagi hadiah seperti kereta, perjalanan umrah untuk keluarga, percutian, komputer riba dan jam tangan pintar.

Peraduan Syokkping Gila-Gila itu berakhir pada 30 September 2023. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights