KEMENTERIAN Kewangan Malaysia (MOF) menafikan kesahihan maklumat mengenai pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tambahan sebanyak RM600 seperti yang tular di media sosial ketika ini.
Dalam satu kenyataan, MOF memaklumkan STR yang sudah memasuki Fasa 3 sudah disalurkan pada 26 Jun lalu.
“MOF ingin menegaskan bahawa maklumat mengenai tambahan STR sebanyak RM600 adalah palsu. Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan berita sebegini di Telegram. Tidak pasti, jangan kongsi.
“STR Fasa 3 sudah disalurkan pada 26 Jun yang lepas. Bagi memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai 2023,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOF, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
“Sila layari pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my
“Untuk mendapatkan maklumat sahih, ikuti saluran rasmi MOF dan pastikan pautan berita adalah sah dan betul,” katanya. – Malaysiapost