Pelatih PGA maut dipercayai akibat strok haba

SEORANG peserta kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, Perak, meninggal dunia dipercayai akibat strok haba, semalam.

Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam, 21, dari Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA dikatakan melapor diri sebagai peserta kursus, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kematian pelatih itu, namun memaklumkan punca sebenar hanya dapat diketahui selepas bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.

Sementara itu, Komandan PLPGA Ulu Kinta, Mohammad Hafiz Kadir berkata, berdasarkan maklumat rakan si mati, pelatih itu pada mulanya mengadu mengalami kekejangan kaki kiri sejak malam kelmarin.

Katanya, bagaimanapun ketika mengikuti kelas petang semalam pelatih itu tiba-tiba rebah dan diserang sawan serta dalam keadaan meracau.

“Anggota perubatan memberi bantuan awal dan segera membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan lanjut.

“Ketika di klinik, doktor bertugas beberapa kali melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun pelatih itu disahkan meninggal dunia kira-kira 5 petang.

“Berdasarkan laporan awal doktor di klinik kesihatan berkenaan, punca kematian pelatih itu dipercayai akibat strok haba,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights