PRN: SPR terlepas peluang mereformasi sistem undi pos

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengalu-alukan pengumuman tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang diadakan serentak pada 12 Ogos depan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini, berpendapat pilihan raya secara serentak itu adalah langkah tepat bagi mengelakkan ‘politiking’ berpanjangan dan menambah kekeliruan serta kelesuan kepada pengundi.

“Walau bagaimanapun, Bersih kecewa tempoh kempen masih lagi 14 hari, daripada 29 Julai sehingga 11 Ogos, dan ini akan menambah tekanan kepada pengundi pos.

“Khususnya Kategori 1B Pengundi Luar Negara untuk menghantar semula sampul undi pos mereka kepada Pegawai Pengurus sebelum hari pengundian tamat,” katanya.

Menurut Bersih, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pihaknya menerima banyak aduan daripada pengundi pos bahawa mereka hanya menerima sampul undi pos hampir dengan hari pengundian atau selepas hari pengundian tamat.

“Tempoh kempen sepatutnya 21 hari minimum. Sekiranya SPR tidak sanggup untuk memanjangkan tempoh kempen, maka kami menggesa mereka untuk sepenuhnya mereformasi sistem undi pos.

“Mereka perlu membenarkan pengundi pos untuk memuat turun kertas undi dan dokumen lain yang diperlukan dalam format PDF untuk memansuhkan keperluan SPR untuk mengepos atau courier kertas kepada pengundi pos.

“Cara ini akan menghapuskan kesilapan pengkeranian yang biasa berlaku dengan proses menulis nombor siri dan memasukkan kertas undi pos secara manual. Ini juga akan menjimatkan kos pengurusan oleh SPR,” katanya.

Bersih bagaimanapun lega kerana untuk PRN di enam negeri kali ini, ada kumpulan sukarelawan rakyat seperti Global Bersih dan VoteMalaysia akan sekali lagi membantu mengumpulkan sampul undi pos luar negara dan menghantarnya kepada Pegawai Pengurus masing-masing.

“Usaha yang mulia ini perlu disokong sepenuhnya dan kami menggesa Kementerian Luar Negeri untuk mengarahkan Malaysia Halls bagi membenarkan sukarelawan menggunakannya sebagai pusat pengumpulan kertas undi pos,” katanya.

Bersih turut menyeru semua pengundi di enam negeri ini untuk keluar undi kerana pilihan mereka akan memberi impak langsung kepada kualiti pentadbiran di persekitaran mereka.

“Ini kerana kerajaan negeri masih berkuasa melantik ahli majlis tempatan dan datuk bandar yang akan mentadbir majlis kerajaan tempatan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights