BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan persetujuan untuk meningkatkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada bulan depan.
Malah, menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan empat mata bersama Dr Mahathir itu, mereka bersetuju untuk saling mengukuhkan perpaduan orang Melayu.
“Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus.
“Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional, khususnya dalam menghadapi PRN di enam buah negeri tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan pertemuan empat mata antara beliau dan Dr Mahathir berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati.
“Semalam saya telah mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Alhamdulilah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu akhirnya bertemu Dr Mahathir semalam, selepas beberapa tahun mereka bersengketa susulan “Langkah Sheraton”.
Pertemuan itu dipercayai susulan kesediaan Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi untuk bekerjasama dengan Muhyiddin bagi mengangkat agenda Melayu. – Malaysiapost