SPRM sahkan terima nama pegawai JPN

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menerima nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata pegawainya sudah menerima nama terbabit dan akan menjalankan siasatan.

“Saya dapat maklumat nama sudah diberikan kepada SPRM dan kita akan menjalankan siasatan.

“Berapa jumlah nama yang diserahkan itu saya tidak pasti kerana perlu semak dulu. Cuma apa diberitahu pegawai, nama dah terima,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, nama seorang pegawai JPN yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara akan diserahkan kepada SPRM, hari ini.

Menurutnya, pegawai terbabit dikenal pasti selepas beliau menerima aduan yang dibuat secara terus kepadanya.

Ditanya pandangan beliau berhubung amalan memberi kenyataan mengenai rasuah secara terbuka selepas dua menteri berbuat demikian, Azam berkata, tiada halangan untuk melakukannya.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab seseorang menteri untuk mencegah rasuah dan mereka tidak dikenakan had bagi mendedahkan perkara itu kepada umum.

Katanya, ia harus diterima secara positif dalam memastikan rasuah dapat ditangani segera.

Dalam majlis sama, Azam turut melancarkan akaun rasmi TikTok ‘SPRM Malaysia’ sebagai salah satu medium menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat mengenai rasuah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights