SERANGAN besar-besaran terbaru Israel ke atas Jenin, di Tebing Barat Palestin yang membunuh 12 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan mencederakan lebih 100 yang lain adalah satu lagi perilaku keji, zalim serta tidak bertamadun rejim Zionis.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata jenayah kemanusiaan yang dilakukan rejim pimpinan Benjamin Netanyahu itu jelas memperlihatkan sikap teroris sebenar negara haram Israel.
Menurutnya, tindakan itu mesti dikutuk serta dihukum sekeras-kerasnya oleh seluruh masyarakat antarabangsa.
“Selaku anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi sesi 2022-2024, suara Malaysia juga perlu lebih lantang.
“Kepimpinan kerajaan perlu melakukan segala yang terupaya bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, dalam hal berkenaan, Perikatan Nasional (PN) sentiasa berdiri teguh di belakang perjuangan suci rakyat Palestin.
Terdahulu, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilakukan oleh rejim Israel di Jenin, Tebing Barat Palestin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Negara (KLN) berkata peningkatan keganasan telah memburukkan lagi keadaan yang sudah teruk di Jenin.
Malaysia menuntut Israel menghentikan segera pertumpahan darah dan membenarkan akses tanpa halangan untuk penduduk di Jenin kepada perkhidmatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan.
Malaysia juga sekali lagi menyeru Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa menuntut rejim Israel menghentikan jenayah kejam kemanusiaan serta dasar apartheid terhadap rakyat Palestin demi kepentingan keamanan dan kestabilan. – Malaysiapost