Vida, ‘tauke gym’ minat beli TRW

PEMILIK pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman memaklumkan dua pihak telah menunjukkan minat untuk mengambil alih pasukan The Red Warriors (TRW).

Selain Datuk Seri Vida, penaja Kelantan yang juga pemilik Erfan Gym & Fitness turut menyatakan hasrat untuk memiliki pasukan itu.

“Saya ada terima dua tawaran untuk ambik alih Kelantan FC namun ianya hanya perjumpaan awal untuk tunjuk minat sebelum langkah seterusnya.

“Yang minat adalah Dato Vida dan salah satu penaja Kelantan FC musim ini, saudara Erfan Akif Ruslan pemilik Erfan Gym & Fitness.

“Insya-Allah selepas pendaftaran pemain baru Kelantan FC minggu ini dan ada kelapangan saya atau wakil akan berjumpa dengan Dato Vida dan saudara Erfan Akif,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Semalam usahawan kosmetik popular, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman atau mengakui mahu mengambil alih kelab Kelantan FC yang kini terpalit pelbagai kontroversi berhubung isu gaji pemain.

Beliau kini dilaporkan sedang menunggu maklum balas dari pemilik TRW Kelantan FC, Norizam atau Zamsaham mengenai pengambilalihan kelab.

Vida yang juga Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd dan bekas penaja skuad TRW, terbuka untuk kembali menaja Kelantan jika bersesuaian dengan syaratnya.

Menurut Vida, beliau telah menghantar surat kepada Zamsaham mengenai perbincangan kelab itu.

Dalam pada itu, Norizam berkata sehingga kini beliau masih lagi merupakan pemegang saham utama pasukan itu.

“Saya akan maklumkan hal ini pada MFL dan belum putuskan apa-apa lagi dan saya masih kekal pemegang saham terbesar dalam Kelantan FC.

“Mana yang terbaik dan menang-menang saya akan putuskan dan maklumkan pada semua,” katanya lagi.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights