BEKAS Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dihukum penjara 15 tahun dan didenda lebih RM283 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM38 juta.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mensabitkan Otman Arshad, 64, atas 96 pertuduhan bagi kesalahan yang didakwa berlaku antara 2012 dan 2015.
Tertuduh didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kuasa dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, lapor Malaysiakini.
Ia melibatkan 17 pertuduhan mengikut Seksyen 18(a) Akta SPRM 2009 atas dakwaan mengemukakan tuntutan palsu, manakala baki 15 pertuduhan adalah berhubung salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 (1) akta sama.
Dia turut didakwa atas 64 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa menerima RM16,623,000 hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad miliknya.
Otman dituduh melakukan kesalahan salah guna kuasa dan tuntutan palsu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di Kuala Lumpur, antara 28 Feb 2012 dan 18 Nov 2015.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara 7 Mac 2012 dan 11 Disember 2015.
Bagaimanapun, hakim Kamarudin Kamsun membenarkan Otman yang diwakili peguam Rafique Rashid Ali menangguhkan pelaksanaan hukuman itu. – Malaysiapost