BAPA kepada kanak-kanak yang maut dicekik abang kandung mendakwa suspek sering menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah sekolah asrama sejak tahun lalu.
Najli Yakob, 42, berkata anak sulungnya itu kerap mengadu dipukul, disepak dan dicekik pelajar senior asrama sebuah sekolah arab di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Alor Gajah, Melaka.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kelakuan remaja berusia 14 tahun terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli dan kesan perbuatan tersebut telah menyebabkannya trauma hinggakan sering meracau.
Jelasnya lagi, insiden mencekik bukan pertama kali berlaku, malah dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat pernah dicekik remaja terbabit sebelum berlaku tragedi semalam.
“Dia (anak sulung) pernah beritahu dicekik ketika tidur dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat. Akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya.
“Selepas adiknya tidak sedarkan diri, dia berkali-kali menumpuk pipi kanan dan kiri sambil menjerit Subhanallah,” katanya.
Semalam, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu, Melaka.
Kejadian jam 12 tengahari itu disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah. – Malaysiapost
Kredit foto: Sinar harian