Nak jadi menteri ke, nak jadi artis?

PEMIMPIN pembangkang mempersoalkan tindak-tanduk menteri kerajaan perpaduan kerana membuat sesuatu yang tidak pernah dilakukan menteri-menteri sebelum ini.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merujuk kepada laporan berita bahawa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan menjadi juri bersama selebriti, Fazura dalam rancangan realiti TV.

“Nak jadi menteri ke, nak jadi artis? Tak pernah dibuat oleh menteri sebelum ini hatta KJ (Khairy Jamaluddin) sekalipun – betul-betul luar tabii!

“Padanlah ekonomi Malaysia hancur atas tangan puak-puak ni.

“Kaki kelentong, formula palsu. Kerja menipu rakyat saja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Kelmarin media melaporkan, Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan kerjasama Astro mengetengahkan program realiti buat julung kali yang akan memapar kemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencari penyelesaian isu berteraskan sosiekonomi.

Rafizi berkata pertandingan melalui program Innovathon itu menterjemahkan sains, teknologi dan inovasi kepada sesuatu yang boleh diterima umum.

Program Innovathon membariskan barisan juri tetap, Rafizi; Menteri Mosti, Chang Lih Kang dan Fazura bersama 100 juri awam terdiri pelbagai latar belakang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights