‘Nampak gaduh tapi baik di belakang, itulah politik mereka’ – Razlan

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii mendakwa ‘krisis’ antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah sesuatu yang dirancang.

Mohd Razlan berkata, perkara itu adalah permainan politik yang selama ini dilakukan oleh bekas Perdana Menteri dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, untuk menjadi ‘popular’.

“MUDA kurang popular, dirancang isu bersama Tun M, nampak gaduh tapi baik di belakang. Jadilah popular!

“Itulah politik mereka selama ini, jangan kena bodoh lagi!,” katanya menerusi Facebook.

Dr Mahathir dan Syed Saddiq ketika ini saling berbalas kenyataan berhubung idea negara kepelbagaian kaum yang ingin dibawa Ahli Parlimen Muar itu.

Malah, Dr Mahathir berkata, idea berkenaan secara tidak langsung akan memberi kesan negatif terhadap identiti bangsa Melayu.

Terdahulu Syed Saddiq, membidas kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menekankan ‘kemelayuan Malaysia’.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kemerdekaan dicapai adalah melalui perpaduan penduduk yang pelbagai, merentasi sempadan kaum dan agama.

Sebelum itu, Dr Mahathir berkata, tidak pernah terjadi dalam sejarah kaum imigran menuntut negara yang memberikan hak kerakyatan kepada mereka untuk membuang status quo. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights