Pertembungan anak-ayah tak akan berlaku – Annuar

TAN Sri Annuar Musa menolak dakwaan akan berlaku pertembungan antara dirinya dan anak, Afiq Amani dalam Pilihan Raya Negeri di Kelantan bulan depan.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) yang kini ahli Pas berkata, anaknya yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Ketereh, disifatkan sebagai penyokong kuatnya.

“Saya tak perlu komen apa-apa, kita lihat perkembangannya, tunggu dan lihat nanti.

“Tak payah kalau-kalau, itu tidak akan berlaku, percayalah. Anak saya tetap merupakan penyokong kuat saya,” katanya selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan Parlimen Bachok, malam tadi.

Terdahulu media melaporkan, Afiq Amani adalah antara 155 nama yang dihantar Barisan Nasional (BN) Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan, 12 Ogos ini.

Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Zawawi Othman, mengesahkan nama Afiq Amani diangkat pimpinan Umno Bahagian untuk disenarai sebagai calon di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ketereh.

Majlis Syura Ulama Pas pula dijangka melakukan tapisan calon parti itu, esok.

Sementara itu, ditanya mengenai namanya yang dijangka dicalonkan Pas pada PRN kali ini, Annuar sedia mempertimbangkannya dan menyifatkan perkara itu sebagai amanah parti.

“Saya ahli baharu dan kalau boleh berilah laluan kepada ahli yang lebih lama. Saya tak jadi calon pun tiada masalah, saya serah kepada pucuk pimpinan Pas.

“Saya sudah banyak kali jadi calon, kalau ada orang lain jadi calon, okaylah dan saya tidak menjadi calon pun tidak mengapa,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights