SERAMAI 81 pekerja pembinaan warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi lain di Ulu Klang Ampang, tengah hari semalam.
DBKL dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH).
Menurut DBKL, pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang semua agensi yang terbabit.
“Pemeriksaan di kawasan tapak pembinaan ini dibuat secara menyeluruh di bahagian dalam dan luar pembinaan bagi menentukan tahap kebersihan, keselamatan dan permit kebenaran serta memastikan segala peraturan di tempat pembinaan senantiasa dipatuhi oleh kontraktor dan pemilik syarikat.
“Pemeriksaan secara menyeluruh berkaitan dokumentasi perjalanan dan permit kerja membabitkan 67 warga Bangladesh, 10 warga Indonesia, tiga warga Pakistan dan seorang warga Nepal dilakukan oleh pihak JIM,”menurut kenyataan itu.

Menurutnya, DBKL pula mengeluarkan enam notis kompaun di dalam kawasan pembinaan membabitkan tiga kesalahan mendirikan struktur tanpa kebenaran, dua kesalahan tempat pembiakan nyamuk dan satu notis tiada permit mengangkut bahan binaan.

“Sementara daripada pihak agensi sahabat lain, empat Surat Larangan dan empat Notis Arahan Keselamatan dikeluarkan DOSH kepada pemilik / pengendali di tapak pembinaan.
“Operasi bersepadu ini akan diteruskan mengikut kawasan parlimen di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.