SERAMAI 144,911 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Daripada jumlah itu, seramai 79,668 calon ditawarkan di universiti awam (UA) manakala seramai 65,243 calon di Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang menawarkan program pengajian berfokuskan TVET.
Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan berjaya mendapat tawaran dengan kadar kejayaan lelaki adalah 61.7 peratus berbanding perempuan 60.4 peratus.
Jelasnya, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon layak, tanpa mengira kaum, agama, jantina, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal dengan mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
“Prinsip meritokrasi tersebut adalah berasaskan pencapaian akademik iaitu 90 peratus dan pencapaian kokurikulum 10 peratus.
“Kejayaan mendapat tempat adalah bergantung kepada markah merit, memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian, perakuan temuduga dan/atau ujian bagi yang memerlukan syarat berkenaan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 500 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan membabitkan 143 Sijil, 47 Asasi, 309 Diploma dan satu Ijazah Sarjana Muda.
“Hanya calon yang mengemukakan permohonan UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my/ sahaja telah dipertimbangkan.
“Jumlah permohonan UPUOnline yang diterima bagi lepasan SPM adalah sebanyak 239,609 berbanding 237,161 pada sesi lepas dengan jumlah kenaikan sebanyak 2,448 (1.03 peratus),” katanya.
KPT turut menawarkan laÂluan khas kepada 14,619 pelajar daripaÂda empat kumpulan bagi kemasukan ke pengajian tingÂgi awam iaitu golongan B40, orang kelainan upaya (OKU) atau leÂpaÂsan institusi Jabatan Kebajikan MaÂsyarakat (JKM), Orang Asli dan atlet.
Menurutnya, calon Melayu, Anak Negeri Sabah, Anak Negeri Sarawak dan orang asli yang mendapat tawaran adalah seramai 130,819 (62.6 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 208,833.
Manakala calon daripada kaum Cina yang mendapat tawaran pula, katanya adalah 5,477 (52.4 peratus) daripada jumlah yang layak iaitu 10,447 orang.
Katanya, bagi kaum India dan lain-lain, bilangan calon yang mendapat tawaran adalah 8,615 (46.5 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 18,525.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, seramai 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM 2022 tidak memohon UPUOnline atas beberapa faktor yang telah dikenal pasti.
“Mereka telah mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi BMKPM, IPGM, Tingkatan 6, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan luar negara atau mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, KPT kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari sahaja mulai hari ini jam 12 tengah hari hingga 16 Julai 2023, jam 5 petang. – Malaysiapost