KERAJAAN akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata syor penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi tempoh masa yang agak lama.
“Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan kelulusan, maka Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Dr Zulkapli Mohamed) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali), dah kemukakan pandangan kepada saya untuk memulakan pasukan mengkaji dan saya sudah bersetuju (cadangan itu).
“Secara keseluruhannya, upah dan gaji penjawat awam masih di tahap yang terendah dan sangat wajar diberikan pertimbangan walaupun terikat dengan kekangan kewangan yang ada, tapi saya fikir sedikit perubahan kita boleh cari jalan supaya boleh beri (kelulusan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan, hari ini.

Namun, Anwar tidak menetapkan jangka masa khusus bagi perbincangan itu mahupun peratusan kenaikan yang dijangka diberikan, selain menyifatkan perbincangan mengenainya masih di peringkat awal.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada majlis berkenaan, berkata usaha menaikkan gaji kakitangan awam akan diberikan keutamaan sejurus kedudukan ekonomi negara bertambah baik dalam tempoh setahun.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri menyatakan sudah sampai masanya penilaian dan kajian semula dibuat terhadap gaji penjawat awam yang tidak memuaskan khususnya di peringkat rendah. – Malaysiapost