MALAYSIA dan Hungary hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha bersepadu untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama dalam bidang pertanian.
Ia ditandatangani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pertanian Hungary, Dr Istvan Nagy di Budapest.
Kedua-dua menteri mengadakan perbincangan mengenai cadangan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian, khususnya akses pasaran, pertanian moden dan penyelidikan untuk manfaat bersama.
Mohamad dalam kenyataannya berkata MOU itu akan membuka peluang untuk meneroka pasaran baharu bagi produk pertanian Malaysia seterusnya meningkatkan keseimbangan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara.
Nagy dalam kenyataannya turut menyebut kepentingan mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua negara bagi mencipta lebih banyak peluang.
Menurutnya, ia juga menjadikan MOU itu sebagai suatu kelebihan untuk lebih berdaya saing.
Beliau menambah Hungary bersedia untuk meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan benih dan agro-genetik, pertanian pintar dan pendigitalan yang ditekankan dalam pertanian untuk membantu menangani cabaran dalam produktiviti, kemampanan dan perubahan iklim.
Dr Nagy juga menawarkan Malaysia peluang menjadikan Hungary sebagai pintu masuk kepada keluaran pertanian dari Malaysia ke EU. – Malaysiapost