MCA, MIC dipelawa sertai PN

MCA dan MIC dipelawa untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu yang tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Pelawaan itu dibuat Timbalan Pengerusi 1 PN Perak, Razman Zakaria yang menyifatkan MCA dan MIC sebagai parti yang tidak mengamalkan politik ekstrem serta boleh membantu PN membina semula negara dalam keadaan lebih aman.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, mencadangkan agar pemimpin kedua-dua parti mengadakan rundingan bersama pucuk pimpinan PN.

Menurutnya, penyertaan MCA dan MIC dalam PN diyakini mampu menarik sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus sokongan pengundi kedua-dua parti berkenaan.

“Kalau MCA dan dan MIC sudah merasa tidak mewakili lagi kaum Cina dan India, saya cadangkan mereka bolehlah berjumpa dengan pucuk pimpinan PN untuk membolehkan (rundingan).

“Mereka ini bagus, kaum-kaum yang tidak ekstrem untuk bersama-sama dengan kita dan membina semula negara ini dengan lebih aman,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Perak berkata, rakyat negara ini perlu memegang kepada satu prinsip bahawasanya Malaysia ini mesti dipimpin kaum yang majoriti beragama Islam.

“Kalau Pakatan Harapan (PH) ini semua orang tahu ia dikuasai oleh DAP, maka walaupun didepannya ada orang Melayu, tetapi Melayu ini membuat keputusan berdasarkan kepada kehendak dan persetujuan DAP.

“Adalah lebih baik sekiranya MCA dan MIC berunding dengan pucuk pimpinan (PN) untuk kita mendapat sekurang-kurangnya 20 atau 30 peratus daripada pengundi mereka.

“Maka kita boleh mewujudkan pentadbiran politik dalam negara kita ini, mewujudkan keharmonian dan mengelakkan ketegangan antara kaum,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara MCA dan MIC dengan PN kelak mampu membina semula integrasi nasional supaya ada persefahaman di antara kaum yang tinggal dalam negara ini.

Media sebelum ini melaporkan MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN yang bermula 29 Julai ini hingga 12 Ogos depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 29 Julai ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon.

Manakala tarikh pengundian awal pada 8 Ogos dan hari mengundi adalah pada 12 Ogos 2023. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights