SEBANYAK 70 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas akan diberi tumpuan oleh polis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan pengalaman pihak berkuasa itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu.
Katanya, kawasan panas di Selangor akan dipantau Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Bahagian Cawangan Khas (SB) untuk memastikan perjalan PRN berjalan lancar.
“(Ia bagi memastikan) pengundi dapat mengundi dengan teratur dan selamat untuk keluar mengundi, tak perlu takut keluar mengundi. Jika ada ugutan dari luar, kita hendak tentukan perkara ini tidak berlaku.
“Sebelum ini pun kita ada pengalaman dalam PRU, kebanyakan kita (sudah) kenal pasti tempat-tempat yang ada isu, cuma kita akan ‘neutralize’ kan perkara-perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak untuk tidak memainkan isu sensitif termasuk isu 3R (agama, bangsa dan raja) sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
“Ketika tempoh berkempen, kita juga mempunyai pasukan perakam dan pegawai penyiasat bermula pada hari penamaan calon hingga pasca hari mengund.
“Tidak kira siapa sama ada orang awam, ahli politik atau ahli perniagaan kalau sebut isu sensitif seperti 3R, sekiranya ada keterangan, kita akan siasat,” katanya.
Jelasnya, pihaknya mendapatkan bantuan 2,000 anggota dan pegawai dari negeri lain sebagai tambahan kepada kira-kira 10,000 pegawai dan anggota dari kontinjen Selangor pada hari penamaan calon sehingga pasca hari mengundi.
PRN di enam negeri diadakan serentak, dengan 12 Ogos ditetapkan hari pengundian, manakala penamaan calon 29 Julai dan pengundian awal, 8 Ogos. – Malaysiapost