PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan hospital minggu lalu, semakin sihat dan boleh mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, pagi ini.
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan Abdul Hadi sudah sihat untuk menjalankan tanggungjawabnya.
“Alhamdulillah Presiden PAS sihat walafiat untuk mempengerusi mesyuarat AJK PAS Pusat pagi ini.
“Doakan Tuan Guru kita dapat terus memimpin ummah,” katanya hari ini.
Minggu lalu, Abdul Hadi dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dibenarkan pulang ke rumah keesokan harinya.
Berikutan itu, beberapa program terutama membabitkan Abdul Hadi terpaksa ditangguhkan sementara.
Ahli Parlimen Marang itu menerima rawatan hospital disebabkan demam dan bukannya masalah jantung, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), beberapa kali dimasukkan ke hospital termasuk di Institut Jantung Negara (IJN). – Malaysiapost